fb   |  Contact Us  |  Feedback  |  GEMS  |  Webmail   


Ministry of Industry and Primary Resources

  • Increase font size
  • Default font size
  • Decrease font size

MAJLIS PERLETAKAN BATU ASAS BANGUNAN KILANG PADI DAN STOR PADI WASAN, JALAN LIMAU MANIS, NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

Sabtu, 29 Safar 1434H / 12 Januari 2013M
Tapak Kilang Padi Wasan, Jalan Limau Manis
Negara Brunei Darussalam

Pihak Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama melalui Jabatan Pertanian dan Agrimakanan telah membuat perancangan-perancangan yang bersesuaian bagi menampung jumlah pengeluaran padi domestik yang semakin meningkat sejak program “Ke arah sara diri dalam pengeluaran beras Negara Brunei Darussalam“ diperkenalkan pada tahun 2008. Sehubungan itu, Majlis Perletakan Batu Asas Pembinaan Bangunan Kilang Padi dan Stor Padi telah dilaksanakan pada hari Sabtu, 29 Safar 1434 / 12 Januari 2013 dan disempurnakan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Utama Dato Seri Setia Awang Haji Yahya bin Begawan Mudim Dato Paduka Haji Bakar, Menteri Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama, Negara Brunei Darussalam. Majlis ini telah berlangsung di Tapak Kilang Padi, Wasan, Jalan Limau Manis.

Turut hadir di majlis tersebut ialah Yang Berhormat Awg Haji Jumat Bin Akim, Ahli Majlis Mesyuarat Negara selaku Ketua Kampong Lumapas, Yang Mulia Dyg Hajah Normah Suria Hayati binti PJDSMDSU (Dr) Haji Mohd Jamil Al-Sufri, Setiausaha Tetap, Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama, Yang Mulia Dyg Hajah Hasnah Binti Ibrahim, Timbalan Setiausaha Tetap (Pembangunan Sumber-Sumber Utama), Yang Mulia Awg Md Riza Binti Dato Paduka Haji Mohd Yunos, Timbalan Setiausaha Tetap (Pembangunan Industri dan Keusahawanan), Ketua-Ketua Kampong dan Ketua-Ketua Ladang, Pengarah-Pengarah, Ketua-Ketua Jabatan, Ketua-Ketua Bahagian/Pusat di bawah Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama serta pegawai-pegawai kanan dan kakitangan Jabatan Pertanian dan Agrimakanan.


Jabatan Pertanian dan Agrimakanan telah pun melantik sebuah Syarikat tempatan bagi melaksanakan kerja-kerja pembinaan bangunan kilang padi berkenaan. Kerja-kerja projek tersebut mula dilaksanakan pada 26 November 2012 dengan mengambil masa selama 6 bulan dan dijangka siap pada penghujung bulan Mei, 2013.

Bangunan ini dibina dan diubahsuai bagi menempatkan sebahagian daripada komponen mesin pemerosesan padi baru yang berkapasiti 3.5 metrik tan sejam yang mana kontrak pembeliannya telah pun ditandatangani pada 30 Ogos 2012 yang lalu di antara Jabatan Pertanian Dan Agrimakanan dengan Satake Corporation, Jepun.

Kontrak pembekalan mesin pemerosesan padi baru itu adalah bernilai USD$3,916,110.00 merangkumi pembelian, pembekalan dan pemasangan mesin pemprosesan padi berkenaan. Ianya juga termasuk melaksanakan keperluan latihan bagi pegawai dan kakitangan jabatan dalam pengendalian mesin tersebut. Pegawai dan kakitangan Jabatan yang terlibat secara langsung dalam pengendalian mesin ini akan menjalani latihan asas selama 2 minggu di Thailand dan latihan pengendalian selama 6 bulan lagi apabila mesin tersebut telah siap dipasang yang mana akan diadakan di Brunei dan akan dikendalikan oleh syarikat pembekal. Pembekalan serta pemasangan mesin ini dijangka akan siap pada penghujung tahun 2013 ini.

Adalah diharapkan dengan adanya mesin pemprosesan baru yang lebih berteknologi tinggi ini, pengisaran padi akan dapat dilaksanakan dengan lebih cepat dan efisien untuk memenuhi permintaan pasaran tempatan serta membantu mengawal kualiti lepas tuai beras. Pada masa ini Jabatan Pertanian Dan Agrimakanan mempunyai sebuah kilang memproses padi yang lama dan beberapa buah mesin pengisar padi kecil yang kesemuanya hanya mampu memproses padi 1 tan metrik sejam.

Manakala projek membina dua blok stor padi telah mula dilaksanakan pada 13 November 2012 yang akan mengambil masa selama 8 bulan dan dijangka siap pada pertengahan bulan Julai 2013. Dua buah blok stor padi berkenaan boleh menampung 1,000 tan metrik padi yang akan dilengkapi dengan kemudahan asas dan pengudaraan yang bersistematik bagi mengawal keadaan suhu, kelembapan dan oksigen di dalam bangunan untuk mengekalkan kebersihan dan mutu padi sebelum diproses. Reka bentuk bangunan stor ini adalah mengutamakan perlindungan daripada kemasukan binatang-binatang perosak padi seperti tikus dan burung pipit yang merupakan musuh tradisi padi yang perlu diberi perhatian.

Bangunan stor padi yang baru ini akan dapat meningkatkan kemudahan tempat penyimpanan hasil-hasil padi dan akan membantu mengurangkan dan mengelakkan kerosakkan dan pembaziran di mana penyimpanan dilakukan dengan kaedah yang lebih teratur dan bersistematik. Pada masa ini Jabatan Pertanian Dan Agrimakanan telah mempunyai sebanyak 8 buah stor padi berkapasiti sederhana di Daerah Brunei Muara, 1 buah di Daerah Temburong dan 1 buah di Daerah Belait dengan anggaran kapasiti kesemuanya adalah 2,000 tan metrik padi.